Friday 22 August 2014

Jangan Jadi Anjing Yang Mengejar Bangkai.



Islam melihat dunia sebagai tempat untuk bercucuk tanam dan hasilnya akan dipungut di akhirat kelak.

Islam tidak pernah menolak dunia kerana namanya dunia.

Sebaliknya Islam menolaknya dari sudut penggunaannya yang bercanggah dengan tuntutan Allah dan RasulNya.
Ada dalam kalangan manusia yang menjadikan dunia sebagai matlamat hidupnya yang dikejar-kejar. Sebagaimana anjing-anjing yang kelaparan mengejar bangkai.

Janganlah kita menjadi seumpama anjing-anjing tersebut yang tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki.

Jadikanlah dunia ini sebagai tempat mencari bekal dan lihatlah dunia ini dengan keluasan akhirat. Maka Allah akan memudahkan urusan kita di dunia dan jadilah semuanya bekalan untuk perjalanan yang panjang untuk bertemu Allah.

Jom baca beberapa pesanan Nabi Salla Allah wa sallam kepada para sahabat dan menjadi pedoman untuk kita mengikut jejak langkah mereka:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ: نَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى حَصِيرٍ فَقَامَ وَقَدْ أَثَّرَ فِي جَنْبِهِ، فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ لَوِ اتَّخَذْنَا لَكَ وِطَاءً، فَقَالَ: «مَا لِي وَلِلدُّنْيَا، مَا أَنَا فِي الدُّنْيَا إِلَّا كَرَاكِبٍ اسْتَظَلَّ تَحْتَ شَجَرَةٍ ثُمَّ رَاحَ وَتَرَكَهَا» وَفِي البَاب عَنْ ابْنِ عُمَرَ، وَابْنِ عَبَّاسٍ: «هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ»

Abdullah Ibn Mas’ud  radiya Allah anhu bahawa Rasulullah salla allah ‘alayh was sallam tidur di atas tikar dan bangun selepas itu dalam keadaan badannya  berbekas. Maka kami berkata: “Wahai Rasulullah, apakah patut kami bawakan kepada mu hamparan yang lembut”.

Nabi berkata: “Apakah kedudukan aku di dunia ini.  Bandingan aku dengan dunia tidak ubah bagaikan seorang pengembara yang berehat buat sementara waktu di bawah sepohon pokok kemudian beredar meninggalkannya.”

(Hadith riwayat al-Tirmidhi, beliau mengatakan hadith ini hasan sahih).

اشْتَكَى سَلْمَانُ فَعَادَهُ سَعْدٌ، فَرَآهُ يَبْكِي، فَقَالَ لَهُ سَعْدٌ: مَا يُبْكِيكَ يَا أَخِي؟ أَلَيْسَ قَدْ صَحِبْتَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَلَيْسَ؟ أَلَيْسَ؟ قَالَ سَلْمَانُ: مَا أَبْكِي وَاحِدَةً مِنَ اثْنَتَيْنِ، مَا أَبْكِي حُبًّا لِلدُّنْيَا، وَلَا كَرَاهِيَةً لِلْآخِرَةِ، وَلَكِنْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَهِدَ إِلَيَّ عَهْدًا، فَمَا أُرَانِي إِلَّا قَدْ تَعَدَّيْتُ، قَالَ: وَمَا عَهِدَ إِلَيْكَ؟ قَالَ: عَهِدَ إِلَيَّ: «أَنَّهُ يَكْفِي أَحَدَكُمْ مِثْلُ زَادِ الرَّاكِبِ، وَلَا أُرَانِي إِلَّا قَدْ تَعَدَّيْتُ، وَأَمَّا أَنْتَ يَا سَعْدُ فَاتَّقِ اللَّهَ عِنْدَ حُكْمِكَ إِذَا حَكَمْتَ، وَعِنْدَ قَسْمِكَ إِذَا قَسَمْتَ، وَعِنْدَ هَمِّكَ إِذَا هَمَمْتَ» قَالَ ثَابِتٌ: «فَبَلَغَنِي أَنَّهُ مَا تَرَكَ إِلَّا بِضْعَةً وَعِشْرِينَ دِرْهَمًا، مِنْ نُفَيْقَةٍ كَانَتْ عِنْدَهُ»

Salman pernah mengadu sakit; Beliau telah diziarahi oleh Sa‘ad bin Abi al-Waqqas. Sa’ad melihat Salman menangis, lantas Sa’ad berkata: “Apakah yang menyebabkan engkau menangis, wahai saudaraku.. bukankah tuan bersahabat dengan Rasulullah salla allah ‘alayh wa sallam?.

Salman menjawab: “Aku tidak menangis kerana luput satu daripada dua perkara. Saya tidak menangis kerana bimbang berpisah dengan dunia dan bukan juga kerana bencikan akhirat. .. tetapi Rasulullah salla Allah ‘alayh wa sallam telah menjanjikan kepada kami satu  perjanjian dan aku telah melihat bahawa aku telah melanggar perjanjian itu.”

Sa’ad berkata: “apakah yang dijanjikan oleh Rasulullah salla Allah ‘alayh wa sallam itu?

Jawabnya: “Baginda berjanji kepada aku iaitu cukuplah  kepada salah seorang daripada kamu mengambil keperluan dunia sebagai bekalan orang yang berada di dalam perjalanan.. saya telah melanggar perjanjian itu. Adapun engkau wahai Sa’ad, bertakwalah kepada Allah dalam hukuman yang engkau jatuhkan dan ketika membahagikan harta kekayaan kepada rakyat dan ketika ingin melakukan sesuatu perkara.”

Kata Thabit: Berdasarkan berita yang sampai kepadaku, Salman hanya meninggalkan wang sebanyak 20 dirham lebih dan sedikit wang perbelanjaan. 

(Riwayat Ibn Majah)

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ بِالسُّوقِ، دَاخِلًا مِنْ بَعْضِ الْعَالِيَةِ، وَالنَّاسُ كَنَفَتَهُ، فَمَرَّ بِجَدْيٍ أَسَكَّ مَيِّتٍ، فَتَنَاوَلَهُ فَأَخَذَ بِأُذُنِهِ، ثُمَّ قَالَ: «أَيُّكُمْ يُحِبُّ أَنَّ هَذَا لَهُ بِدِرْهَمٍ؟» فَقَالُوا: مَا نُحِبُّ أَنَّهُ لَنَا بِشَيْءٍ، وَمَا نَصْنَعُ بِهِ؟ قَالَ: «أَتُحِبُّونَ أَنَّهُ لَكُمْ؟» قَالُوا: وَاللهِ لَوْ كَانَ حَيًّا، كَانَ عَيْبًا فِيهِ، لِأَنَّهُ أَسَكُّ، فَكَيْفَ وَهُوَ مَيِّتٌ؟ فَقَالَ: «فَوَاللهِ لَلدُّنْيَا أَهْوَنُ عَلَى اللهِ، مِنْ هَذَا عَلَيْكُمْ» ،

Daripada Jabir bin ‘Abd Allah: Rasulullah salla Allah ‘alayh wa sallam pernah lalu di pasar dari arah ‘Aliyah. Orang ramai mengikut baginda di kiri dan kanannya. Baginda lalu di hadapan bangkai seekor anak kambing jantan yang terputus dua telinganya.

Lalu baginda memegang dua telinga kambing itu lalu bersabda: “siapa dalam kalangan kamu yang sanggup membayar satu dirham untuk kambing ini.”

Mereka menjawab: “Kami tidak suka ia menjadi milik kami dengan apa-apa bayaran sekali pun dan apa yang boleh kami lakukan terhadapnya”.

Sabda Rasulullah salla allah ‘alayh wa sallam: “Adakah kamu suka ia menjadi milik kamu?”

Mereka menjawab: “Demi Allah seandainya ia hidup sudah tentu ia seekor anak kambing yang cacat kerana telinganya terputus. Apatah lagi sudah menjadi bangkai.”

Sabda Rasulullah salla Allah ‘alayh wa sallam: “Demi Allah, dunia itu lebih hina pada pandangan Allah daripada bangkai kambing yang dipandang hina oleh kamu sekalian.”

(Hadith riwayat Muslim).

Cintailah akhirat, jangan jadi hamba kepada dunia.

Jadilah manusia yang bijak yang melihat dunia ini dengan keluasan akhirat.

Jangan jadi anjing-anjing yang kelaparan yang mengejar bangkai.


Hafid Sulaiman


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...