Wednesday 5 October 2016

Mitos Dan Fakta Mengenai Diabetes




Maklumat salah tentang diabetes sangat berleluasa. Mendapat maklumat yang betul mengenai diabetes adalah penting bagi semua orang agar diabetes dapat dicegah dan dikawal dengan berkesan. Saya kongsikan beberapa mitos dan fakta mengenai diabetes. Supaya kita mendapat maklumat yang tepat seterusnya dapat melakukan langkah pencegahan dan kawalan yang berkesan.


Mitos Dan Fakta Mengenai Diabetes




Mitos: Anda menghidap diabetes hanya jika ada gemuk. Orang kurus tidak menghidap diabetes.


Fakta: Penyataan bahawa orang kurus tidak menghidap diabetes adalah tidak benar. Walaupun tidak boleh disangkalkan bahawa obesiti merupakan penyumbang utama kepada diabetes jenis 2, faktor risiko lain juga memainkan peranan seperti sejarah keluarga menghidap diabates, tidak aktif secara fizikal, etnik dan umur. Memang ramai orang yang menghidap diabetes tidak obes langsung. Jika anda berusia lebih daripada 30 tahun dan mempunyai satu (atau lebih) faktor risiko, anda disaran agar mendapat pemeriksaan kesihatan setiap tahun.


Mitos: Saya tidak berisiko kerana tiada siapa dalam keluarga saya yang menghidap diabetes.


Fakta: Walaupun tiada ahli keluarga anda yang menghidap diabetes, tidak bermakna anda tidak berisiko kerana terdapat banyak faktor lain yang menyumbang kepada diabetes. Termasuklah gaya hidup tidak sihat dan tidak aktif secara fizikal.


Mitos: Orang Tua Sahaja yang menghidap diabetes.


Fakta: Tidak benar bahawa orang tua sahaja yang menghidap diabetes. Kini semakin ramai orang dewasa muda yang mendapat diabetes jenis 2. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2011 menunjukkan bahawa prevalens diabetes di Malaysia semakin meningkat tanpa mengira kumpulan umur.

Mitos: Wanita yang menghidap diabetes tidak boleh hamil.


Fakta: Wanita yang mengawal diabetes mereka dengan baik boleh melalui kehamilan yang normal dan melahirkan bayi yang sihat. Kunci kepada kehamilan yang sihat bagi wanita yang menghidap diabetes ialah mengekalkan paras glukosa darah dalam julat sasaran, sebelum dan semasa hamil.
 

Mitos: Diabetes disebabkan oleh pengambilan gula berlebihan.


Fakta: Tiada satu makanan atau nutrien yang menyebabkan diabetes. Berlebihan berat badan meningkatkan risiko tehadap diabetes jenis 2. Peningkatan berat badan berpunca daripada pengambilan kalori yang berlebihan daripada sebarang sumber (makanan tinggi lemak, makanan dan minuman bergula, snek, dan lain-lain). Oleh yang demikian, walaupun diabetes tidak berpunca daripada pengambilan gula yang berlebihan, adalah penting untuk mengelak daripada mengambil makanan atau minuman bergula untuk mengurangkan risiko diabetes.

 

Mitos: Penghidap diabetes memerlukan suplemen diet.


Fakta: Amnya, penghidap diabetes tidak memerlukan suplemen diet. Anda boleh berbincang dengan doktor atau dietitian sebelum menggunakan suplemen diet.


Mitos: Diabetes bukan penyakit serius.


Fakta: Diabetes merupakan penyakit kronik yang serius. Diabetes tidak dikawal boleh menyebabkan pelbagai komplikasi termasuk penyakit jantung, strok, buta, kerosakan buah pinggang, kerosakan saraf dan amputasi. Risiko penyakit jantung adalah dua kali ganda lebih tinggi dalam kalangan penghidap diabetes dan dua daripada tiga penghidap diabetes meninggal dunia akibat penyakit jantung atau strok.
 

Mitos: Jika anda menghidap diabetes dan perlu mulakan suntikan insulin, bermakna nyawa anda akan berakhir.


Fakta: Diabetes boleh dikawal! Walaupun anda terpaksa mula menggunakan insulin, bukanlah bermakna nyawa anda akan berakhir. Insulin membantu mengawal diabetes anda dengan baik. Ingatlah bahawa diabetes ialah penyakit yang semakin progresif, dan jika anda mengikuti nasihat doktor/dietitian, anda dapat mengawal keadaan, mengelakkan komplikasi, dan meneruskan aktiviti harian anda.

Sumber: Buku Cegah dan Kawal Diabetes (Bulan Pemakanan Malaysia)

Moga Bermanfaat

Hafid Sulaiman
Pengedar Shaklee


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...